November 17, 2009

Sukan Tahunan Sek.Keb.Changkat Lada 3

Alhamdulillah...selesailah sudah acara Sukan Tahunan SKCL 3 kali yang ke-9 pada 12 November 2009. Acara sukan ini bermula jam 2.00 petang dan tamat pada jam 6.00 petang. Pelbagai acara dipertandingkan seperti 4x100, sukaneka dan tarik tali akhir. Acara sukan dimulai dengan perarakan dari rumah-rumah sukan, lintasan hormat, sukaneka dari PPKI dan prasekolah, aktiviti sukan, acara ibubapa dan acara pegawai. PPKI tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam acara sukan seperti 4x100m, acara golek tayar dan ais krim gergasi..Jom layan telatah anak-anak kami..


Antara rumah sukan membuat tabik hormat kepada tetamu jemputan


Antara acara sukaneka PPKI (menggolek tayar menuju halangan skitel)


Adik Mohd Rizal bersedia utk acara 4 x 100 m


Perbarisan PPKI mendapat JOHAN dalam pertandingan perbarisan SKCL 3


PPKI SKCL3 mendapat tempat pertama dalam perbarisan

November 11, 2009

Minggu Pendidikan Khas Daerah Perak Tengah 2009

Bertarikh 10 November 2009 bersamaan hari Selasa yang lalu, berlangsungnya Minggu Pendidikan Khas Daerah Perak Tengah di SMK Sultan Muhammad Shah, Parit. Seramai 8 orang murid PPKI Sek Keb Changkat Lada 3 telah menyertai program ini diiringi oleh 2 orang guru iaitu Cikgu Faridhatun dan Cikgu Shahrizal..Antara aktiviti yang dijalankan ialah pameran dari pendidikan khas, persembahan murid dan jualan hasil kerja murid....Jom layan gambar-gambar ini untuk tatapan kita semua.........


Pegawai Khas Pend.Khas Daerah Perak Tengah En. Dzul Hanan (berbaju hitam) melihat barang yang dipamerkan.


Guru pengiring dan anak buah bergambar bersama..


Cikgu Faridhatun memeriksa barang2 yang dibawa dr SKCL 3...


Antara hasil kerja yang dihasil oleh anak2 kami


Ada penanda buku buku nota, sampul surat..dan lain2 lg...

November 7, 2009

PraSukan Tahunan SKCL 3 tahun 2009

Latihan PraSukan Tahunan SKCL 3 bermula pada Isnin bersamaan 2 November 2009 sehingga 9 November 2009. Pelbagai acara sukan dipertandingkan antaranya ialah acara sukaneka, tarik tali, lompat jauh, lontar peluru, 4 x 100 meter, merentas desa dan banyak lagi. PPKI tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam acara prasukan tahunan ini. Antara acara yang melibatkan PPKI ialah sukaneka, 100 meter lelaki/perempuan, talik tali dan merentas desa...Kepada semua yang terlibat, semoga Sukan Tahunan SKCL 3 kali yang ke-9 pada 12 November 2009 berjaya seperti yang dirancangkan. InsyaAllah..


Tarik jgn x tarikk....


1,2,3 Poooooon...lariiiii


Acara sukaneka PPKI. Mengepit bola melalui halangan skitel


Acara menggolek tayarr..ishhh.berat betul la tayar ni.


Murid-murid PPKI bersedia untuk acara sukaneka

November 1, 2009

Kenapa kena kucup hajarul aswad

Rumah Allah itu adalah kiblat kepada umat Islam seluruh dunia ketika menunaikan ibadat solat seharian dan Masjidil Haram yang menaungi kawasan itu menjadi masjid paling mulia dalam Islam.

Baitullah yang penuh berkat dan mulia itu dikenali juga dengan nama lain seperti al-Bait, al-Bait al-Haram, al-Bait al-Atiq dan Qiblat.

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Ali-Imran: 96)

Ulama berbeza dalam mentafsirkan ayat berkenaan. Sesetengahnya mengatakan makna bait itu ialah Kaabah, sesetengahnya pula mengatakan bait itu ialah Masjidil Haram dengan dalil hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bermaksud:

“Daripada Abi Zar berkata: Aku bertanya Rasulullah s.a.w mengenai masjid yang paling awal dibina di bumi, sabdanya Masjidil Haram. Aku berkata, kemudian masjid mana? Sabdanya, Masjidil Aqsa. Aku bertanya berapa lama antara keduanya didirikan? Sabdanya, empat puluh tahun.”

Menurut cerita Ibn Zahirah al-Qarsyi, Kaabah dibina beberapa kali, iaitu oleh malaikat, Nabi Adam a.s, Nabi Ibrahim a.s, orang Quraisy, Ibn Zubair dan Hajjaj Yusuf as-Thaqafi.

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail meninggikan binaan asas Baitullah itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah:127)

Selain melakukan tawaf di rumah Allah itu, satu fenomena cukup ketara diperhatikan ketika musim haji, malah pada waktu lain ketika mengerjakan umrah, ialah tindakan sesetengah tetamu yang mengucup Batu Hitam atau lebih dikenali Hajarul Aswad.

Amalan itu didakwa sebagai mencontohi kucupan diterima daripada Nabi Muhammad s.a.w. Ulama menyatakan perbuatan istilam (melambai tangan) terhadapnya ketika memulakan tawaf atau mengucup Hajarul Aswad (sekiranya dapat) termasuk perkara sunat mengerjakan haji dan umrah.

Signifikan tindakan itu, sebagaimana digambarkan Saidina Umar al-Khattab, Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua: “Saya tahu anda adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan faedah. Jika tidak aku melihat Rasulullah s.a.w mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu.”

Nabi s.a.w menciumnya sebagaimana dilakukan nabi sebelumnya, sehingga Hajarul Aswad menjadi tempat bertemunya bibir kalangan nabi, orang soleh, jemaah haji dan mereka yang menunaikan umrah sepanjang sejarah.

Ia juga menjadi tempat permulaan dan akhir tawaf, sekali gus tempat mustajab dikabulkan doa.

Batu Hitam yang terletak di bahagian penjuru sebelah timur Kaabah adalah objek sangat disanjungi umat Islam. Secara kasar batu itu berukuran diameter 30 sentimeter dan 1.5 meter dari paras bawah.

Ia dikatakan pernah pecah kepada beberapa bahagian pada Zaman Pertengahan. Malah ada pihak mendakwa ia pecah menjadi berkeping-keping kepada lapan gugusan batu kecil.

Keadaan ini berlaku pada zaman Qaramithah, iaitu satu mazhab daripada Syiah Islamiyah al-Batiniyah daripada pengikut Abu Thahir al-Qarmathi yang mencabut Hajarul Aswad dan membawanya ke Ihsa' pada 319 Hijrah, tetapi kemudian dikembalikan lagi pada 339 Hijrah.

Gugusan terbesar dikatakan sebesar buah kurma dan tertanam di batu besar yang lain dikelilingi oleh ikatan perak dan diperkuatkan lagi dengan paku perak. Batu itulah yang dianjurkan untuk dikucup, bukannya batu di sekitarnya dan yang meliputi perak.

Antara keutamaan Hajarul Aswad kerana ia berasal daripada batu yang mulia (yaqut) dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s agar diletakkan di satu sudut Kaabah.

Bahkan menurut tradisi Islam, batu itu berasal dari syurga pada zaman Nabi Adam a.s dan Hawa lagi, dalam keadaan putih berkilau dan bebas daripada unsur kejahatan, tetapi ia menjadi hitam kerana dosa yang diserap tahun ke tahun.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.”

Dikatakan juga Nabi Ibrahim a.s yang menemui Batu Hitam dan apabila baginda membina semula Kaabah, Malaikat Jibril a.s membawa batu itu keluar dan memberikan kepada baginda.

Menurut cerita, apabila Nabi Ibrahim siap membina Kaabah, dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s, Allah memerintahkan baginda melakukan tawaf.

Baginda tidak dapat menetapkan bilangan yang tepat pusingan dilakukannya. Baginda berasa mereka yang lain juga akan keliru.

Justeru, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikannya suatu tanda untuk digunakan bagi mengira pusingan. Malaikat Jibril membawakan batu hitam terbabit kepadanya.

Bahkan, Nabi Muhammad s.a.w turut memainkan peranan dalam sejarah Hajarul Aswad. Ini kerana pada waktu pembinaan semula struktur Kaabah, Hajarul Aswad dipindahkan sementara dan bagindalah yang meletakkan semula batu terbabit di tempat asalnya.

Satu cerita yang ditemui dalam Sirah Rasulullah Ibn Ishaq menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan satu pertelingkahan di antara suku Makkah, yang masing-masing berhak untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya.

Jalan penyelesaiannya ialah dengan memanggil semua pemimpin suku terbabit untuk mengangkat penjuru batu dengan satu kain dan kemudian Nabi Muhammad s.a.w meletakkan batu itu pada tempatnya dengan tangannya sendiri.

Umat Islam dari satu generasi ke generasi apabila mula tawaf dan selesai setiap pusingan, mengucup Hajarul Aswad, menyentuhnya dengan satu tangan atau sekadar memberikan isyarat kepadanya dari jauh.

Batu Hajarul Aswad akan dibangkitkan pada hari kiamat, dengan mempunyai 2 lidah dan 2 mata dan boleh berkata-kata serta memberitahu ” Ya tuhanku dia kucup (cium) aku, dia betul-betul ikhlas“

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Demi Allah! Allah akan membangkitkannya (Hajarul Aswad) pada hari kiamat, baginya sepasang mata untuk melihat dan lidah untuk berkata-kata; menjadi saksi kepada sesiapa yang mengusapnya dengan kebenaran.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Walapun ia adalah batu, ia hidup. Siapa yang menciumnya, ia akan menjadi saksi. Kalau tidak dapat mengucupnya, cukuplah sekadar istilam (mencium dari jauh secara isyarat). Quran juga tahu siapa yang membaca dan mengucupnya. Quran juga menjadi saksi dan lawyer di hari kiamat. Begitu juga kulit dan bumi menjadi saksi bercakap di sana:

Fussilat [21] Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit-kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata, telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan)

Zalzalah [4] Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya:

Rasulullah s.a.w berpesan kepada Sayyidina Umar yang pergi bersama rombongan 124,000 sahabat pergi membuat haji bersamanya ” Ya Umar, jangan kamu menyusahkan orang lain dengan sebab kamu ghairah hendak mengucup hajaraul aswad.

Kalau ada peluang kucuplah, tapi jangan berebut hingga menyusahkan orang lain. Menyusahkan dan menyakitkan orang islam yang lain besar dosanya.
( Petikan dari portal PPD Kerian )